KUALA LUMPUR, 4 November 2026 – Amazon Web Services (AWS), sebuah syarikat Amazon.com, telah melancarkan Semarak AI Malaysia, sebuah program kebangsaan yang bertujuan memperkukuh keupayaan kecerdasan buatan (AI) negara dengan menyediakan akses kepada peralatan serta kemahiran AI kepada penjawat awam, pelajar, syarikat perisian tempatan dan komuniti.
Pelancaran program tersebut berlangsung sempena AWS Cloud and AI Day Kuala Lumpur, dengan matlamat membantu rakyat Malaysia beralih daripada sekadar menggunakan teknologi AI kepada membangunkan penyelesaian berasaskan AI mereka sendiri.
Semarak AI Malaysia berteraskan tiga bidang utama, iaitu AI Negara yang memberi tumpuan kepada sektor awam, AI Ekonomi untuk perniagaan dan AI Rakyat bagi memperkasa komuniti. Ketiga-tiga teras ini dirangka untuk memperluas penggunaan teknologi AI serta meningkatkan kemahiran rakyat dalam membangunkan penyelesaian digital.
“Bagi membolehkan Malaysia menerajui ekonomi AI serantau, kita memerlukan tenaga kerja dan industri perisian yang mampu membangunkan teknologi AI, bukan sekadar menggunakannya. Berteraskan komitmen pelaburan AWS sebanyak RM29.2 bilion di Malaysia, Semarak AI Malaysia akan membantu merealisasikan aspirasi ini. Program ini bermula dengan penjawat awam dan pelajar, sebelum diperluas kepada syarikat perisian supaya mereka dapat membangunkan penyelesaian AI yang memenuhi keperluan perniagaan di Malaysia serta berdaya saing di rantau ini,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
AI Negara: Memperkasa Penjawat Awam Membangunkan Perkhidmatan AI
Di bawah teras AI Negara, GovTech Malaysia, Kementerian Digital memperkenalkan GovHub yang dikuasakan oleh Kiro menerusi platform AI as a Service (AIaaS) Jabatan Digital Negara (JDN).
Projek rintis fasa pertama akan bermula pada 2026 dengan penyertaan 500 pembangun, sebelum diperluas kepada sasaran 4,000 pembangun menjelang 2028.
Kiro menggunakan pendekatan pembangunan berasaskan spesifikasi yang membolehkan arahan pembangun diterjemahkan kepada spesifikasi berstruktur merangkumi keperluan, reka bentuk dan pelaksanaan. Pendekatan ini memberikan AI konteks yang diperlukan sebelum proses pengekodan dimulakan, sekali gus membantu pembangun menghasilkan penyelesaian dengan lebih cekap dan mengurangkan percubaan yang diperlukan.
Selain itu, AWS turut melabur untuk menyediakan Amazon Quick, iaitu teknologi AI yang dibangunkan bagi membantu tugasan kerja, kepada sehingga 445,000 penjawat awam menerusi platform AIaaS JDN.
Teknologi ini membolehkan penjawat awam melaksanakan tugasan yang lebih kompleks, termasuk menganalisis data perolehan, merumuskan penyelidikan dasar merentasi agensi serta mengenal pasti corak dalam set data berskala besar.
Minister with AWS leaders
AI Ekonomi: Memperkukuh Perniagaan Tempatan Melalui Teknologi AI
Melalui teras AI Ekonomi, AWS memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh keupayaan syarikat perisian tempatan dan membantu perniagaan Malaysia mengintegrasikan teknologi AI dalam operasi harian.
Sejak pelancaran AWS Asia Pacific (Kuala Lumpur) Region pada 2024, syarikat perisian di Malaysia yang membangunkan penyelesaian berasaskan AWS telah mencatatkan peningkatan purata kira-kira 30 peratus dalam beban kerja awan dan AI antara 2024 hingga 2025.
Syarikat-syarikat ini membangunkan aplikasi khusus industri yang digunakan oleh sektor perbankan, peruncitan, pembuatan, perhotelan, logistik dan agensi awam.
Sebagai contoh, MOCHI Technologies, sebuah syarikat perisian berpangkalan di Malaysia, sedang membangunkan platform berasaskan AI yang membantu lebih 1,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menguruskan pemasaran, hubungan pelanggan, sumber manusia serta operasi perniagaan melalui satu platform.
Dalam usaha memperluas pembangunan syarikat perisian tempatan, AWS turut bekerjasama dengan Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) menerusi program Sarawak SaaS Accelerator (SaSAR).
Program ini membantu syarikat perisian membangunkan produk AI berasaskan AWS, manakala SDEC menghubungkan mereka dengan perniagaan di Sarawak yang berminat menggunakan penyelesaian AI.
Kohort rintis program tersebut telah melahirkan lebih 20 syarikat perisian yang mewakili sektor ekonomi berpotensi tinggi di Sarawak, termasuk pertanian, automotif dan perubatan.
Syarikat yang menamatkan program menerima kredit awan AWS, bimbingan teknikal serta panduan pembangunan perniagaan daripada SDEC. Mereka turut menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan, penyedia tenaga dan rakan kongsi perusahaan di seluruh Sarawak bagi memperluas penggunaan produk AI masing-masing.
Antara projek awal yang dibangunkan ialah penyelesaian pengujian perisian berasaskan AI bagi membantu organisasi menguji dan mengesahkan aplikasi, termasuk aplikasi mudah alih, merentasi pelbagai industri. Penyelesaian tersebut kini melalui proses pengesahan bersama pengguna projek rintis sebelum diperluas untuk penggunaan yang lebih meluas.
AWS turut bekerjasama dengan GD XCHANGE, bahagian penyelesaian penyedia perkhidmatan logistik peringkat akhir GDEX, serta pengedar AWS, VSTECS, bagi memperluas akses kepada teknologi AI untuk ribuan PKS dalam sektor e-dagang, peruncitan dan pembuatan.
Melalui kerjasama ini, PKS yang layak akan menerima akses percuma kepada Amazon Quick dan Kiro selama enam bulan selepas menjalani penilaian kesediaan AI. Kemudahan ini bertujuan membantu perniagaan menggunakan pembantu AI untuk melaksanakan pelbagai tugasan harian dengan lebih cekap.
Kerjasama tersebut menyasarkan penyertaan 10,000 PKS menjelang 2028. Sebuah PKS dalam sektor peruncitan juga telah mula menggunakan Amazon Quick dan Kiro untuk mengautomasikan pemantauan harga pesaing serta ramalan permintaan, sekali gus membolehkan perniagaan bertindak balas terhadap perubahan pasaran dalam tempoh beberapa jam berbanding beberapa minggu sebelum ini.
AI Rakyat: Membina Kemahiran AI dalam Kalangan Komuniti
Teras AI Rakyat pula memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dan kemahiran AI dalam kalangan pelajar serta komuniti di Malaysia.
Menerusi kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), AWS telah menyokong usaha memperkukuh kemahiran teknologi dalam kalangan pelajar politeknik dan kolej komuniti.
Lebih 3,000 pelajar dan pensyarah dari seluruh negara telah mencatat pencapaian baharu dalam Malaysia Book of Records menerusi POLYCC Agentic AI League 2026, yang diiktiraf sebagai pertandingan AI agentik dengan penyertaan terbesar.
Dalam pertandingan tersebut, Kiro dipilih sebagai peralatan pengekodan utama bagi membolehkan pelajar, termasuk mereka yang tidak mempunyai latar belakang pengaturcaraan, meneroka konsep AI agentik menggunakan bahasa semula jadi.
Selain itu, AWS turut mengambil Sekolah Kebangsaan Datuk Keramat (1) di Kuala Lumpur sebagai sekolah angkat pertamanya di Malaysia menerusi program Sekolah Angkat MADANI kerajaan.
Inisiatif ini merangkumi usaha menaik taraf kemudahan digital dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekolah, menyediakan latihan kepada guru dalam pengajaran pengekodan dan robotik serta menganjurkan aktiviti amali berkaitan teknologi dron dan keselamatan digital untuk murid.
Menurut Pengurus Negara AWS Malaysia, Hussein Mohd Ali, penglibatan sektor awam dalam pembangunan penyelesaian AI mampu menjadi pemangkin kepada penggunaan teknologi tersebut secara lebih meluas di seluruh negara.
“Apabila sektor awam menerajui usaha membangunkan penyelesaian menggunakan AI, langkah ini boleh menjadi contoh kepada seluruh negara. Itulah matlamat Semarak AI Malaysia, iaitu melengkapkan penjawat awam, syarikat perisian dan pelajar dengan peralatan untuk membangunkan penyelesaian AI mereka sendiri. Setiap kementerian, pembangun dan pelajar yang membangunkan penyelesaian menggunakan AI akan membantu menetapkan penanda aras baharu untuk langkah seterusnya,” katanya.
Pelaksanaan Semarak AI Malaysia mencerminkan usaha memperluas akses kepada teknologi AI, membangunkan bakat tempatan dan memperkukuh keupayaan digital negara. Melalui kerjasama antara sektor awam, industri dan institusi pendidikan, program ini dijangka menyokong penyertaan lebih ramai rakyat Malaysia dalam pembangunan ekonomi digital.
Mengenai Amazon Web Services (AWS)
Amazon Web Services (AWS) menyediakan perkhidmatan teknologi berasaskan pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan kepada organisasi daripada pelbagai saiz dan sektor industri. Selama hampir dua dekad, AWS telah memperluas akses kepada teknologi serta membantu jutaan pelanggan mempercepat inovasi, mentransformasikan perniagaan dan membangunkan penyelesaian untuk masa hadapan.
Dengan keupayaan AI yang menyeluruh serta infrastruktur global yang luas, AWS memperkasa pembangun untuk merealisasikan idea dan menghasilkan inovasi baharu. Untuk maklumat lanjut, layari aws.amazon.com atau ikuti @AWSNewsroom.
